IPOH: Proses pemuliharaan dokumen khususnya yang berusia lebih separuh abad memerlukan fokus serta ketelitian tajam bagi mengelakkan kerosakan fizikal dokumen terbabit, agar boleh terus dirujuk oleh pihak berkepentingan dan disimpan sebagai khazanah negara.
Pembantu Pemuliharaan Kanan Arkib Negara Malaysia (ANM) Perak Mohd Ridzalman Mohd Rejab, 46, yang berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang tersebut berkata proses itu memerlukan tahap kesabaran tinggi.
"Banyak daripada dokumen-dokumen lama ini kertasnya mudah rapuh dan ada juga yang telah terkoyak, berlubang dan sebagainya, disebabkan keberadaan di tempat yang tidak sesuai.
"Jadi, tugas kita adalah untuk kenal pasti terlebih dahulu material dokumen atau surat tersebut sebelum proses pemuliharaan dilakukan dengan sempurna tanpa sebarang kecacatan," katanya ketika ditemui Bernama di Pejabat ANM Perak, di sini.
Bapa tiga cahaya mata yang berasal dari Gerik itu berkata pada peringkat awal pihaknya akan mengenal pasti sama ada dokumen berkenaan mengandungi unsur asid atau sebaliknya.
"Kalau ada asid, kita akan buang asid itu sama ada melalui proses rendaman atau semburan. Jika rendaman kita akan gunakan larutan magnesium karbonat manakala semburan kita pakai cecair dikenali sebagai 'Bookkeeper'.
"Kita perlu hilangkan asid ini adalah kerana ia punca kertas mudah reput," katanya dan menambah langkah itu turut memastikan dakwat 'tidak mengembang' pada helaian kertas.
Selesai proses tersebut, setiap helaian kertas perlu pula melalui proses tisu, jemuran dan mampatan.
Beliau menjelaskan proses tisu melibatkan tampalan tisu khas 'L2 Tissue' yang mengandungi larutan sejenis sebatian selulosa untuk pengawetan manakala bahagian bawah kertas dilekatkan kertas khas iaitu 'Japanese Handmade Paper' yang mengandungi larutan sama.
"Selepas itu, baru ke proses jemuran serta mampatan menggunakan mesin mampat yang berfungsi meratakan kertas supaya tidak menggelembung," katanya.
Menurut Mohd Ridzalman, sehelai dokumen perlu menjalani proses pemuliharaan selama sekurang-kurangnya empat atau lima hari sebelum boleh disimpan sebagai bahan rujukan yang memenuhi piawaian.
Beliau berkata proses itu juga adakalanya perlu digabungkan dengan proses penjilidan bagi dokumen berbentuk buku, majalah dan akhbar.
"Itu yang saya katakan, proses ini rumit sebenarnya dan hampir 90 peratus menggunakan kaedah manual. Jadi ia memerlukan masa untuk menyiapkan sesuatu dokumen.
"Penjilidan pula biasanya membabitkan kerja menjahit dan menjilid serta meletakkan tajuk bahan arkib. Secara umum, jenis jahitan yang akan dibuat adalah semat tulang, tusuk tepi, tebar, French Sewing, lintang, atas pita dan atas tali kod," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua dokumen tersebut ditempatkan di gedung penyimpanan rekod di ANM Perak dan setakat ini lebih 100,000 dokumen membabitkan warta kerajaan negeri, sijil kewarganegaraan dan sebagainya tersimpan rapi di situ.
"Setiap dokumen yang telah dipulihara dan dijilidkan boleh bertahan atau kekal sempurna dalam tempoh 25 tahun dan ke atas bergantung kepada kaedah penyimpanannya," kata Mohd Ridzalman
Sementara itu, Pengarah ANM Perak Shahida Mohamad Salleh berkata Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan di bawah jabatan berkenaan bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja restorasi bahan arkib melibatkan 1,667 agensi kerajaan di Perak.
Beliau berkata tugas itu amat mustahak bagi memastikan dokumen atau naskhah yang mempunyai kepentingan serta nilai sejarah dapat disimpan dan menjadi rujukan penyelidik serta generasi akan datang.
"Antara naskhah penting yang tersimpan rapi di sini adalah seperti surat khabar Malay Mail yang diterbitkan pada 31 Ogos 1957, sijil kerakyatan bagi kaum Cina dan India sejak tahun 1950an, koleksi Surat Persendirian (SP) bekas Mufti Perak Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria serta Raja Billah yang dikenali sebagai kerabat Diraja Mandailing," katanya.
Shahida berkata pihaknya juga sentiasa melakukan lawatan, pameran serta ceramah berkaitan kepentingan memperkasa pemeliharaan dan pemuliharaan dokumen terutamanya di jabatan kerajaan.
"Dalam semua sesi itu kita ada terangkan dan minta setiap daripada jabatan itu untuk buat pemindahan rekod penting terutama sebelum tahun 1948 ke ANM Perak untuk proses pemeliharaan dan pemuliharaan," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Feb 20 2024
Mohd Ridzalman melakukan proses nyah asid melalui proses rendaman di Bangunan ANM Perak, Meru Raya, Ipoh. - Gambar/ Bernama
Bimbang hilang suami antara faktor wanita tidak jalani saringan kanser
Bimbang kehilangan suami dan menjadi beban kepada keluarga antara faktor menyebabkan ramai wanita di Kelantan tidak menjalani saringan awal kanser yang disediakan LPPKN di negeri ini.
SUKMA-21: Sarawak mahu cipta rekod untuk naik imej sebagai kuasa sukan
Sarawak selaku tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 yang berlangsung bermula 17 Ogos ini, mahu mencipta rekod kejohanan untuk menaikkan imejnya sebagai kuasa sukan di negara ini.
Kelantan warta garis panduan baharu sukan Muay Thai - Exco
Kerajaan Kelantan sudah mewartakan garis panduan baharu berhubung sukan Muay Thai di negeri itu untuk diperkasakan dan dibangunkan semula bagi melahirkan atlet bertaraf dunia.
Pertumbuhan ekonomi rantau APEC dijangka cecah 3.4 peratus pada 2024 - Laporan
Pertumbuhan ekonomi di negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dijangka mencecah 3.4 peratus pada 2024 dan perlahan kepada 2.9 peratus pada 2025-2026.
Tempoh permohonan sertai Sidang Belia Wilayah Persekutuan dilanjut hingga 31 Mei
Tempoh permohonan keahlian Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) dilanjutkan hingga 31 Mei ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Sembilan pemain skuad juara 2022 perkuat cabaran Malaysia di Piala Asia 2024
MHC mengekalkan sembilan pemain daripada skuad 2022 yang membawa Malaysia muncul juara edisi lepas bagi menggalas tugas mempertahankan kejuaraan Piala Asia 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan.
Kesihatan mental petugas media perlu dijaga demi kualiti kerja
Tuntutan kerja para petugas media yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk tekanan kadangkala mengakibatkan kesihatan mental menjadi lemah, sekali gus memberi impak kepada kesejahteraan mereka.
APEC harus tetapkan gaji minimum - MITI
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) harus secara kolektif mewujudkan penetapan gaji standard untuk mencegah kadar gaji tidak sesuai yang memberi kesan kepada golongan wanita.
GOL tunggal Alif Haiqal hadiahkan Selangor FC mata penuh
Alif Haiqal Lau mencipta kemenangan dramatik selepas jaringan tunggalnya membantu Selangor FC (SFC) menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 1-0 FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
SOP keselamatan haji TH ikut ISO 9001 2015
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) berkaitan aspek keselamatan jemaah semasa di tanah suci adalah berlandaskan sistem pengurusan ISO 9001 2025 perkhidmatan haji yang perlu dipatuhi jemaah apabila berdepan kejadian luar jangka seperti insiden kren tumbang dan rempuhan di mina sebelum ini.
Proses rumit awet khazanah negara
Proses pemuliharaan dokumen khususnya yang berusia lebih separuh abad memerlukan fokus serta ketelitian tajam bagi mengelakkan kerosakan fizikal dokumen terbabit.